Mohamed Azmin berkata, perkara berkenaan sengaja ditimbulkan dan menganggap sebagai tohmahan jahat.

Katanya, tidak masuk akal apabila beliau mahu meninggalkan PKR ketika parti itu kini telah mempunyai kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

"Macam mana saya hendak beri maklum balas, nama pun khabar angin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Merdeka, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, ahli PKR sudah matang dan tidak akan mudah terpengaruh.

"Parti ini bukan bermula di istana atau dewan gah, kita berjuang di jalanan, takkan sudah menang, hendak tinggalkan parti," katanya.

Sebelum ini timbul khabar angin kononnya Ahli Parlimen Gombak dan ' kemnya' itu dikatakan akan bertindak drastik dengan keluar parti sekiranya mereka tewas pada pemilihan parti kali ini. - UTUSAN ONLINE