Bekas Pengasas PPBM, Anina Saadudin berkata, sebagai salah seorang daripada pengasas, dirinya merupakan antara yang ‘menghayun cangkul’ dan ‘menyemai benih’ serta berada di sisi Pengerusi, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang proses pembentukan parti.

Namun begitu katanya, parti yang pada awalnya dilihat dapat menumbangkan UMNO telah hilang arah disebabkan perosak daripada golongan pelobi jawatan, pemfitnah, pengadu domba, pendengki dan pengkhianat di samping kegagalan pucuk pimpinan mengatasi perkara tersebut.

“Kunci pentadbiran terletak di tangan Setiausaha Agung... walaupun Kunan (Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) tidak mempunyai Ijazah Doktor Falsafah, namun beliau menulis surat untuk memaklumkan keahlian UMNO saya gugur.

“Berbanding Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, tidak langsung menulis surat pemecatan saya sebagai Ketua Srikandi PPBM dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, dia hanya mengeluarkan saya daripada kumpulan aplikasi Whatsapp.

“Dr. Shahruddin juga sering ‘melanggar tembok’ dan terjatuh dalam lubang apabila memalsukan watikah pelantikan serta tidak proaktif dalam pendaftaran sayap, bahagian dan cawangan, Dia juga gagal menasihati Presiden tentang pentadbiran, perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan,” katanya menerusi catatan dalam laman Facebooknya di sini semalam.

Tambah Anina, keputusan meletakkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Pembentukan Bahagian juga dilihat sebagai kesilapan besar pucuk pimpinan parti berkenaan.

Jelas beliau, Mukhriz terlalu memikirkan diri sendiri dan tidak memikirkan parti, sebaliknya hanya sibuk mencatur Ketua Bahagian supaya tiada sesiapa pun boleh mencabar jawatannya.

“Nafsu Mukhriz terhadap kuasa jelas kelihatan sejak berada dalam UMNO lagi, (walaupun) tidak pernah memenangi jawatan, malah jawatan Ketua Bahagian Jerlun pun hanyalah ‘serahan baton’ daripada Ketua Bahagian terdahulu. Itu pun Mukhriz tergamak bertanding Naib Presiden UMNO.

“Anak bongsu Dr. Mahathir ini terlalu pentingkan diri sendiri, Dia fikir dia boleh merebut apa sahaja dari orang lain dan tidak perlu merasa bersalah. Pernahkah Mukhriz berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang menyusun strategi dan jentera menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)?” soal Anina lagi.

Justeru, Anina berpendapat, PPBM sepatutnya perlu melihat kepada kelemahan diri sendiri daripada gemar menuding jari kepada orang lain atau pun sibuk menyelak kain parti lain iaitu UMNO.

Katanya, parti berkenaan sewajarnya berbincang dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) termasuk memohon lanjutan tarikh penyerahan dokomen yang diminta agensi berkenaan.

“Apabila sesuatu tanggungjawab itu diletakkan di atas bahu yang tidak layak, maka lingkuplah segalanya. Akibat lembab, lalai dan syok sendiri, PPBM tidak sedar bahawa mereka perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang pertama sebelum tarikh akhir.

“Saya percaya kerajaan tidak berniat menghalang PPBM bertanding dalam PRU-14. Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menghalang PPBM, sudah pasti beliau telah mengambil langkah awal memenjarakan pucuk pimpinan parti itu sebelum penubuhannya. Malah saya sendiri (mungkin) sudah merengkok dalam penjara jika menentang Dr. Mahathir.

“Saya juga tegas berikrar untuk terus mengajak orang Melayu supaya menolak PPBM kerana parti ini bukanlah parti yang layak mewakili kaum itu. Kekalkan apa yang kita miliki dan baiki kelemahan yang ada,” katanya. - UTUSAN ONLINE