TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana kekuatan pakatan pembangkang sebelum ini bergantung kepada ahli-ahli Pas terutama pada majlis keramaian atau perhimpunan.

“Pas adalah parti yang memiliki strukturnya sendiri, tidak seperti parti-parti lain dalam pakatan tersebut. Alhamdulillah, kini Pas sudah sedar tentang (sisi sebenar) Pakatan Harapan dan berharap mereka akan bekerjasama dengan kita.

“Kita akan tunggu dan lihat sama ada bekerjasama atau tidak. Hanya Tuhan yang tahu, saya tidak boleh menjawabnya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Ha­ri Raya Aidiladha dan Program Santai Bersama Keluarga Putrajaya di sini hari ini.

Sebanyak 135 ekor lembu dikorbankan pada majlis tersebut yang membabitkan kira-kira 500 penduduk sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Lembu-lembu itu merupakan sumbangan peribadi Tengku Adnan, penduduk setempat dan badan-badan korporat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini memutuskan pendirian tidak bekerjasama dengan Pas pada pilihan raya umum akan datang dan sudah merangka strategi untuk menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, BN sebagai sebuah parti pelbagai kaum dalam masa sama akan terus komited untuk memperjuangkan kepentingan kaum yang diwakili masing-masing.

“Kalau lihat Perlembagaan UMNO iaitu Fasal 3, kita sebenarnya parti Islam terbesar di Malaysia, tetapi kita percaya kepada kesederhanaan dan tolak ansur menyebabkan kita bertahan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, penyelenggaraan laluan khas basikal di Kuala Lumpur sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley, Bangsar akan dilakukan secara berkala bagi memastikannya selamat digunakan.

Kata beliau, pihaknya juga akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil idea model laluan khas basikal berwarna merah di Putrajaya yang dibuat oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Selain itu laluan basikal di kawasan projek Kolam Biru di Presint 7 dijangka siap pada pertengahan tahun depan untuk kegunaan aktiviti riadah warga kota,” kata­nya.