Menurut aktivis politik, Rahmad Isahak, perkara tersebut penting kerana keputusan suruhanjaya tersebut tentang mana-mana pilihan raya kecil (PRK) boleh dipertikaikan sekiranya statusnya masih dalam keadaan meragukan.

“Pejabat Peguam Negara diminta segera memberikan penjelasan atas tafsiran Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan mengenai status kedudukan Ahli SPR yang dikatakan masih belum diisi selain hanya dianggotai oleh Pengerusi SPR sendiri.

“Ini adalah isu penting yang antara lainnya melibatkan soal mesyuarat khas SPR bagi menentukan tarikh sesuatu PRK. Sekiranya benar wujud kecacatan atas status senarai keanggotaan SPR berkenaan maka tidak mustahil akan berlaku kebarangkalian keputusan sesuatu PRK akan dicabar atas dasar berlakunya kecacatan soal bidang kuasa SPR sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, tanpa penjelasan daripada pihak Peguam Negara, dikhuatiri kedua-dua PRK yang sedang dan akan berlangsung - Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih - hanya membuang masa dan membazirkan wang jika ada pihak yang mencabar status PRK tersebut ke mahkamah kelak.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keanggotaan Ahli SPR hanya diisi Pengerusinya, Azhar Azizan Harun manakala lima lagi tempat termasuk jawatan Timbalan Pengerusi masih belum diisi. - UTUSAN ONLINE