Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pelantikan itu adalah hak Perdana Menteri kerana beliau mempunyai segala maklumat peribadi barisan jemaah Kabinetnya.

“Sama ada soal sijil dan sebagainya, Perdana Menteri tahu siapa yang beliau lantik. Jadi, saya tak mahu komen apa-apa tentang sijil orang lain.

“Tun (Dr. Mahathir) yang berhak kerana semua maklumat peribadi ada kepada beliau,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mohamad mengulas isu ijazah palsu yang melanda kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk dirinya yang diakui tidak menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM).

Sehubungan itu, beliau yang mesra disapa Mat Sabu berkata, Dr. Mahathir juga kini berhak untuk menentukan seseorang dalam Kabinetnya sama ada akan dikekalkan atau sebaliknya.

Pada masa sama, Mohamad menasihatkan rakyat agar mengubah pemikiran daripada menjadikan perkara-perkara seperti itu sebagai isu berbanding hal kecurian wang negara yang lebih besar dan tidak dipandang serius.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) meminta Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa berkaitan slip transaksi bank daripada UMNO kepada Pas yang didakwa pernah dilihatnya.

“Mereka yang ada bukti sila beri kerjasama kepada pihak berkuasa, biar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat. Saya tidak mahu membuat apa-apa pertuduhan tambahan,” ujarnya.

Semalam, Ismail mendedahkan pernah melihat slip transaksi bank yang dibayar UMNO kepada Pas Terengganu dan Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat serta penganjuran program parti. - UTUSAN ONLINE