Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya masih lagi menunggu maklum balas daripada PTG dan menjangkakan pengumpulan input akan selesai dalam tempoh dua minggu ini.

Sambil menafikan bahawa bayaran yang dikenakan itu adalah berkaitan cukai, Mohd. Amar berkata, pihaknya akan meneliti aduan yang timbul sama ada datang daripada pihak yang betul-betul terbeban dengan kadar bayaran ataupun sebenarnya daripada kalangan yang tidak terbabit tetapi hanya suka membuat rungutan.

"Bukan cukai tetapi bayaran proses, seperti saya sebut sebelum ini (kadar lama) sudah 30 tahun, kadar yang baharu adalah kadar semasa dan keputusan dibuat pada tahun 2015 lagi, cuma bila ada komplen dari rakyat maka kita tunggu maklum balas PTG.

"Kalau dibandingkan dengan kadar negeri lain ada yang sama, ada yang tinggi dan ada yangg murah, tak serupa, ada yang mungkin orang kata kita mahakl tapi ada bayaran tertentu yang kita tidak kenakan pun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang mempersoalkan tindakan Kerajaan Pas Kelantan itu kerana semakin membebankan rakyat dan didakwa mengikut jejak langkah Kerajaan PH. - UTUSAN ONLINE