Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, meskipun gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan, PH di peringkat negeri masih mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri ini, bukannya menyerahkan bulat-bulat perkara tersebut kepada kerajaan negeri.

Tegas beliau, wakil negeri tersebut diperlukan kerana bukan sahaja mampu melancarkan urusan antara negeri dengan Pusat, malah boleh bertindak sebagai pemantau dalam setiap gerak kerja pembangunan di seluruh negeri.

“Saya fikir kita perlu ada wakil dalam Kabinet untuk lancarkan urusan kerajaan Pusat di Kelantan. Lagipun, kita juga mahu bantu penyokong-penyokong kita di negeri ini

“PH Kelantan bertanggungjawab untuk sama-sama bangunkan kelantan walaupun kita kalah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri PKR Kelantan bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri melihat tiada keperluan bagi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik pemimpin dari negeri ini dalam Kabinet penuh kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ab. Aziz berkata, pihaknya akan akur dengan keputusan Dr. Mahathir dan menerima sesiapa sahaja daripada mana-mana parti komponen PH Kelantan yang dilantik dalam Kabinet baharu.

“Kami percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad akan memberi peluang kepada mana-mana pimpinan PH Kelantan untuk menganggotai Kabinet ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE