Di Pantai Barat Semenanjung cuaca amat ganas. Tsunami berlaku di Selat Melaka membawa hampir ke Laut Andaman, Johor sehingga ke Kedah. Ranap kese­muanya yang tinggal hanya puing-puing sebagai tanda ke­na­ngan daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Banyak yang telah menganalisa suasana di Pantai Barat. Tidak ramai menyentuh me­ngenai Ke­lantan khususnya Pas. Mereka berjaya bangkit untuk bertahan dengan cemerlang terutama di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pas berjaya merampas kembali empat kerusi yang mana tiga daripadanya di bawah Barisan Nasional (BN) dan satu di bawah PKR ketika mereka bersama dalam Pakatan Rakyat pada 2013.

Rakyat di negeri ini kekal menyongsang arus. Mereka walak dan istiqamah dengan parti yang diwariskan oleh Allahyarham Da­tuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah mereka lebih kuat, menenggelamkan terus ancaman daripada Pakatan Harapan.

Pakar strategik parti itu benar-benar buat kerja kerana sejak dari awal lagi mereka meramalkan akan kekal di negeri ini dengan membuatkan pakatan parti yang disertai DAP, PKR, PAN dan PPBM hilang deposit. Langkah jentera parti itu amat bergaya, tidak go­yang langsung.

Pakatan Harapan hilang deposit di 45 daripada 59 kerusi DUN dan Parlimen yang dipertandingkan termasuk pemimpin utama PPBM, Datuk Sazmi Miah. Ini bermakna rakyat di negeri ini tidak ikut serta gelombang di Pantai Barat walaupun Pakatan Harapan mendapat suntikan sema­ngat daripada anak ke­dua bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang bertanding di DUN Panchor, namun beliau juga hilang deposit.

Orang Melayu dan Islam di sini kekal tidak percaya dan yakin dengan DAP. Mereka sama seperti masyarakat Melayu dan Islam di Kedah dan Terengganu menolak BN tetapi kekal bersama dengan Pas, konservatif.

Bagi BN, prestasi mereka me­nurun sedikit sahaja. Hilang empat kerusi DUN sahaja manakala lima kerusi Parlimen kekal seperti sedia kala.

Apa yang menarik, pada saat-saat BN berhadapan de­ngan tsunami rakyat, empat pemimpin utama parti itu mencatatkan peningkatan majoriti. Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yakub; Ketua Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha BN Kelantan, Md. Alwi Che Ahmad membuktikan kerja buat selama ini mereka amat-amat dihargai oleh rakyat.

Kesemua pemimpin ini khususnya Datuk Seri Mustapa Mohamed juga menjadi penggerak untuk mewujudkan hubungan yang baik antara kerajaan ne­geri dan kerajaan Pusat dalam tempoh lima tahun lalu. Malah mereka berusaha keras untuk memastikan projek-projek mega di bawa masuk ke Kelantan untuk manfaat rakyat.

Pun begitu, apa yang dinikmati dalam tempoh lima tahun lalu mungkin akan berakhir. BN sudah menjadi pembangkang sama seperti Pas di Pusat. Apakah masa depan Kelantan untuk tempoh lima tahun lagi? Tiada siapa yang tahu, namun selagi bayu Laut China Selatan bertiup, negeri ini akan terus kekal menjadi kubu kuat Pas, tidak ada takwil lagi.