Mohammed Firdaus Johari berkata, sebanyak lapan laporan polis turut dibuat oleh ahli dan ahli jawatan kuasa cabang tersebut menggesa pihak polis menyiasat segera kejadian tersebut.

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah agar pihak polis dapat menjalankan siasatan yang terperinci berhubung kes ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kami mengecam tindakan ganas yang mencetuskan provokasi dan huru hara oleh kumpulan tersebut. Kami mengutuk budaya samseng yang dibawa mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Katanya, pemilihan PKR Cabang Jerai yang berlangsung di Dewan Zhong Hua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hwa di Gurun, Sabtu lalu berlangsung aman walaupun berlaku sedikit gangguan teknikal sebelum kumpulan berkenaan menimbulkan kekacauan.

“Sekitar pukul 2.45 petang sekumpulan pemimpin yang terdiri daripada pemimpin Cabang Jerai dan cabang lain bersama 50 orang yang lain merempuh masuk ke dewan dan melakukan gangguan.

“Kumpulan berkenaan melakukan ugutan dan provokasi terhadap ahli  serta calon-calon lain yang mengakibatkan keadaan jadi tegang dan pengundi panik,” dakwanya.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Akhbar melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul mendakwa kekecohan yang berlaku di beberapa cabang PKR ketika pemilihan tersebut didalang oleh pemimpin parti itu sendiri.-UTUSAN ONLINE