Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, sebaliknya kerajaan sudah lama memikirkan untuk menggubalnya kerana ketika ini tiada undang-undang yang khusus dalam menangani berita palsu.

“Kita ada beberapa undang-undang contohnya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 tapi bila dikaitkan dengan berita palsu yang jejaskan keselamatan negara dan jejaskan hubungan antara kaum, kita tidak ada satu undang-undang yang khusus.

“Menerusi jawatankuasa khas yang dibentuk untuk kaji undang-undang baru ini nanti, kita akan tengok semua perkara dan (rujuk) undang-undang (mengekang berita palsu) yang wujud di lain negara.

“Ini akan kita gunakan (sebagai panduan menggubal undang-undang) supaya berita palsu tidak jejaskan keharmonian negara kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat GegaRia Fest 2018 di Padang Angsana Mall di sini sebentar tadi.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said Azalina menerusi laman Facebooknya mengumumkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu membendung berita palsu di negara ini.

Azalina berkata, jawatankuasa khas itu bertanggungjawab mengkaji undang-undang berkaitan sebelum dibawa kepada pertimbangan Kabinet dan ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menurut beliau, jawatankuasa yang dianggotai beberapa agensi keselamatan itu telah bermesyuarat buat kali pertama Rabu lalu dengan dipengerusikannya sendiri. - UTUSAN ONLINE