Sambil menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) tersebut juga bukan satu kejutan.

Malah, beliau yang juga Timbalan Menteri Luar menambah, kekalahan itu bukan kali pertama buat PH dalam beberapa PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam masa sama, tegasnya, kekalahan itu tidak akan menghalang PH untuk terus menabur bakti kepada rakyat termasuk di kawasan yang tidak berpihak kepada PH.

“PH mengamalkan politik yang sihat dan sentiasa memberi pembelaan terhadap rakyat, sebab itu sama ada menang atau kalah dalam mana-mana PRK, membela nasib rakyat akan diteruskan.

“Bagaimanapun, sokongan yang diterima oleh calon BN tersebut tetap dihormati oleh PH,” katanya seperti dipetik laporan portal berita di sini hari ini.

Keputusan PRK DUN Rantau semalam menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi berbanding calon PH, Dr. S. Stream (5,887 undi).

Sementara itu, dua calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin masing-masing mendapat 83 dan 79 undi. – UTUSAN ONLINE