Ini kerana rakyat hanya minta kehidupan mereka diperhatikan dan jangan sesekali perlekehkan derita yang dialami.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff juga berharap para menteri tidak lagi dilanda sindrom penafian sebaliknya berusaha gigih membantu rakyat.

“Fahami kenapa undi awal, undi pos berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Fahami kenapa pengundi kampung mengundi BN. Pasti ada sebabnya. Telitilah!.

“Jangan lagi dalam kalangan menteri ada sindrom penafian. Jika rakyat mengkritik, tangani kritikan mereka dengan tindakan yang jelas,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau semalam.

Mohammad Agus sebelum ini menyatakan PH bakal mengalami laluan sukar dalam PRK DUN Semenyih apabila nilai integriti para pemimpin semakin terhakis akibat kegagalan menunaikan pelbagai janji.

BN memenangi PRK DUN Semenyih semalam melalui calonnya Zakaria Hanafi selepas memperoleh 19,780 undi iaitu majoriti 1,914 daripada pesaing terdekat dari PH, Muhammad Aiman Zainali yang memiliki 17,866 undi. – UTUSAN ONLINE