Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kekalahan tersebut menuntut kepada kebangkitan iaitu melangkah ke hadapan dengan lebih bermaruah supaya dapat menebus dan menginsafi kesilapan lalu.

Ujarnya, di sebalik dugaan tersebut, parti sebenarnya diberi peluang untuk melihat sendiri wajah sebenar siapa kawan, siapa lawan, siapa musang berbulu ayam dan yang kekal bersama itulah pejuang sebenar.

"Maka, di atas kesedaran dan keinsafan inilah kita tidak boleh sesekali mengalah dan menyerah. Sebaliknya, kita harus bertekad untuk bangkit dan bergerak ke depan demi memulihkan parti yang kita cintai.

"Rapatkan barisan dan binalah kembali kepercayaan antara satu sama lain. Bersama-sama kita kembali menguatkan parti kita, perubahan harus berlaku, dan ia mesti bermula sekarang," katanya dalam status di Facebook beliau, hari ini. - UTUSAN ONLINE