Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana pelantikan kesemua wakil Pas tersebut diperkenan oleh Sultan Sharafuddin berdasarkan cadangan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam masa sama, beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima arahan daripada Mohamed Azmin supaya kesemua Exco itu meletakkan jawatan atau dipecat.

“Mengikut perlembagaan mana-mana negeri termasuk Sela­ngor, pelantikan Exco diperkenan oleh Sultan atas cadangan Menteri Besar.

“Memang Menteri Besar mempunyai kuasa untuk membuat cadangan tetapi terserah kepada perkenan Tuanku kerana Tuanku yang memberi amanah untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang me­ngatakan Mohamed Azmin akan tunduk kepada tekanan dalaman PKR supaya memecat kese­mua Exco Pas Selangor tidak lama lagi.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, semua pihak perlu membezakan di antara jawatan dalam kerajaan dan politik.

“Jawatan Exco adalah jawatan dalam kerajaan yang memberikan khidmat kepada rakyat dan bukannya jawatan politik dalam parti, ini dua perkara berbeza.

“Sebagai contoh, di Kelantan semua lantikan politik daripada PKR seperti ahli majlis daerah dalam kerajaan yang baru mengangkat sumpah diteruskan biarpun tahaluf siyasi di antara Pas dan PKR telah terbatal kerana lantikan dalam kerajaan khusus untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.