Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memberi jaminan itu berkata, semangat asal penubuhan institusi yang menjadi milik orang Melayu itu tetap akan dipertahankan.

Beliau berkata, kerajaan hanya menjalankan usaha-usaha untuk memperbetulkan urus tadbirnya sahaja demi membersihkan Mara daripada sebarang penyelewengan.

“Ini merupakan isu yang dekat dengan hati kita semua dan sebab itu dalam bab ini, kita perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun.

“Pembersihan akan dibuat tetapi institusi tersebut dan semangat asal perjuangannya tetap akan dikekalkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan penubuhan Pertubuhan Cintai Malaysia di Kota Damansara dekat sini hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan para menteri Kabinet perlu lebih sensitif dengan pandangan orang ramai berhubung isu Mara.

Yang turut hadir, Presiden Pertubuhan Cintai Malaysia, Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor. - UTUSAN ONLINE