S. A. VIGNESWARAN
S. A. VIGNESWARAN

Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk C. Sivaraajh berkata, pelantikan Vigneswaran sebagai Senator pada tahun 2016 adalah masih sah sehingga kini dan kedudukannya sebagai Presiden MIC pula dipilih melalui proses demokrasi.

“Pemuda MIC ingin mengingatkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bahawa tiada apa-apa dalam Perlembagaan yang menghalang Presiden baharu MIC daripada mengekalkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Jika beliau melepaskan kedudukan sebagai presiden, ia seolah-olah tidak menghormati ahli MIC yang telah menyokongnya untuk menjadi pemimpin parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Lip Eng sebelum ini meminta Vigneswaran untuk melepas jawatannya sebagai Presiden MIC jika beliau mahu kekal sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan perkara itu akan membolehkan Pakatan Harapan melantik calonnya. - UTUSAN ONLINE