Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memberi tumpuan dan bekerja keras melakukan tranformasi ke arah perubahan besar bagi kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama, mahukan negara ini kekal dihormati di peringkat dunia.

“Saya tak ambil cara pembangkang, saya tak ambil cara pemimpin kita dulu mengata kita. Saya ambil cara pemimpin luar agar menghormati negara kita,”ujar beliau.

Beliau menarik perhatian bagi memajukan negara, dan Malaysia dihormati sebagai sebuah negara Islam sejati, negara dengan berpegang kepada pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pengurusan ‘maqasid syariah’.

“Negara Islam yang bukan diukur pencapaiannya berdasarkan kain rentang di tepi jalan, atau yang dicat dengan pelbagai warna,” ujarnya.

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) di Pekan Baharu, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.-UTUSAN ONLINE