Selepas dijatuhkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Najib kini bagaikan wira terutama dalam kalangan warganet yang mengikuti rapat perkembangan beliau khususnya di Facebook.

Bagi Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, kemunculan semula bekas Perdana Menteri itu bukan dirancang oleh UMNO sebaliknya ia berlaku dengan sendiri.

“Untuk menaikkan kembali martabat atau mengangkat darjat seseorang itu adalah kehendak Allah. Kalau Allah hendak naikkan martabat seseorang itu, kita tidak boleh buat apa.

“Sebelum ini, Najib dijatuhkan dan hari ini Allah kembali angkat martabatnya apabila mula disayangi oleh rakyat. Semua ini, bukan dirancang dan ia berlaku secara semula jadi," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Shahidan berkata, bagi situasi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau tidak perlu membuat kemunculan semula sebaliknya terus berkhidmat kepada rakyat.

“Teruskan berkhidmat dan Insya-Allah kemunculan semula itu akan datang secara semula jadi," katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan berkata, kesatuan UMNO dan Pas akan menjadikan Melayu dan Islam semakin kuat.

“Kerjasama UMNO dan Pas akan diteruskan bagi memastikan kuasa politik di negara ini kembali dikuasai oleh orang Islam. Melayu dan Islam akan dihormati kalau kita bersatu dan kuat," katanya.- UTUSAN ONLINE