Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik malam tadi selepas mengambil kira jumlah besar permohonan bagi cabang Julau diterima ibu pejabat PKR pada 12 Jun, lebih awal dariapda tarikh akhir penerimaan keanggotaan bagi tujuan pemilihan iaitu pada 26 Jun 2018.

Ahmad Fahmi berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga telah memaklumkan bahawa semua permohonan keahlian baharu hanya dimasukkan ke dalam pangkalan data keanggotaan selepas diluluskan biro politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Katanya, senarai akhir permohonan keanggotaan baharu telah diluluskan dalam satu mesyuarat khas MPP selepas tarikh 26 Jun dengan senarai itu kemudiannya diserah kepada setiap cabang untuk semakan dan bantahan sehingga 17 Julai 2018.

“(Namun), sehingga tarikh tersebut, ibu pejabat PKR tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau.

“Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta ini dan memandangkan tiada pelanggaran proses dalam kes ini, biro politik PKR dimaklumkan bahawa permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau adalah sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE