Majlis penyerahan cek itu disempurnakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang diserahkan kepada Lembaga Pengelola Sekolah Tamil.

Noh berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di tanah seluas 1.2 hektar yang diberikan Sime Darby di Tennamaram.

"Ini adalah satu sejarah kerana masyarakat India di sini telah lama menanti sekolah ini. Sebelum ini mereka terpaksa bersekolah jauh iaitu kira-kira tujuh kilometer.

"Saya harap pembinaan sekolah ini dapat disegerakan demi kemudahaan anak-anak di sini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek itu, di sini hari ini.

Noh dalam pada itu memberitahu, Kerajaan Persekutuan mengutamakan pendidikan untuk kaum India kerana hanya pendidikan dapat mengubah nasib masyarakat itu.

"Buktinya sejak 2015 hingga 2017, sebanyak RM1.25 juta telah disalurkan kepada lapan SJKT di Parlimen Tanjong Karang.

"Malah saya sendiri turut menyalurkan bantuan RM90,000 kepada SJKT di Tanjong Karang untuk tahun ini sahaja," jelasnya. - UTUSAN ONLINE