Mugshot Liow Tiong Lai (tengah)
LIOW TIONG LAI

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, DAP lupa bahawa kaum Cina tidak pernah terhutang budi dengan parti itu sebaliknya mereka yang memerlukan komuniti tersebut.

Menurut beliau, MCA akan memberikan cabaran dan tenta­ngan hebat bagi memastikan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan tidak akan berjaya mencapai hasrat tersebut.

“Kami akan memaklumkan kepada kaum Cina dan penyokong MCA yang terdiri daripada pelbagai kaum bahawa negara tidak memerlukan parti yang angkuh dan sombong ini malah DAP tidak pernah membantu dalam membangunkan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-11 klinik pakar mata Optimax di Sri Petaling, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, rak­yat sendiri boleh melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang dirundung pelbagai masalah malah bersikap tidak telus dalam beberapa isu.

“Dahulu isu penjualan rumah dan terbaharu isu terowong dasar laut yang dijan­jikan pada 2013, sebaliknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat aduan mungkin berlakunya penyelewengan,” jelasnya.

Tiong Lai turut mendakwa pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga tidak te­lus apabila cuba mengelak daripada memberi penjelasan terhadap persoalan yang dibangkitkan timbalannya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berhubung isu terowong tersebut.