Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Musa Aman berkata, penganjuran itu juga dapat mempromosikan UMNO serta menarik perhatian rakyat terutama golongan belia untuk mendekati dan menyertai parti keramat Melayu itu.

“Selain menunjukkan semangat juang dalam kalangan ahli, penganjuran karnival itu berupaya menge­ratkan silaturahim dan mengukuhkan persefahaman antara pemimpin, ahli dan rakyat.

“Semangat dan kesungguhan inilah yang harus kita semai serta kekalkan demi kelangsungan parti dalam memantapkan perjuangan UMNO negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sukan UMNO peringkat ne­geri di pekarangan Pusat Kegiatan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Yang hadir sama, Pengerusi Penganjur Karnival Sukan UMNO negeri me­rangkap Menteri Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titi­ngan serta Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa.

Pada majlis itu, kira-kira 500 ahli UMNO menyertai konvoi Larian Ben­dera UMNO yang disampaikan oleh Naib Ketua Bahagian UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor kepada Masidi yang merupakan wakil Badan Perhubu­ngan UMNO negeri sempena Sambutan ­Ulang Tahun Ke-71 UMNO.