Justeru, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO meminta rakyat menilai sejauh mana pakatan tersebut mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan sendiri tanpa adanya pe­mimpin utama.

“Lazim hukum akal, kapal yang ada tiga nakhoda akan terumbang-ambing (kerana) ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik yang lebih bergelora.

“Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan kita (Barisan Nasional) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Serom, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO nege­ri, Datuk Md. Jais Sarday.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan meneliti secara profesional permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan gabungan itu sebagai sebuah entiti politik mengikut lunas perundangan yang ada terutamanya Akta Pertubuhan 1966.

“Saya mengikuti dengan dekat perkembangan hierarki struktur organisasi Pakatan Harapan, tentunya mereka akan memohon kepada Ketua Pengarah ROS untuk daftarkan pakatan itu sebagai sebuah entiti politik.

“Mereka akan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akhirnya meletakkan calon-calon di atas lambang sama untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.