Ahmad Yunus Hairi

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi ketika mengesahkan perkara itu berkata, persoalan mengenai sokongan ke atas Mohamed Azmin merupakan antara isu utama yang dibincangkan kepe­mimpinan Pas negeri berdasarkan senario serta kedudukan politik semasa.

“Pas akan bertanding di 20 kerusi Parlimen dan di 42 kerusi DUN (Dewan Undangan Ne­geri) Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kami tidak mempunyai apa-apa hubungan atau kerjasama politik dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP termasuklah PKR.

“Kami yakin prestasi kami baik di Selangor pada PRU-14 dan juga sudah ada senarai calon untuk jawatan Menteri Besar Sela­ngor dan sudah pastinya kali ini kami akan utamakan calon kami untuk jawatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Azmin menduduki kerusi Menteri Besar dengan sokongan Pas selepas Langkah Kajang pada 2014, apabila parti itu menolak jawatan berkenaan selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan walaupun dikatakan sudah mendapat restu istana.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Ahmad Yunus berkata, percaturan Pakatan Harapan yang diketuai DAP mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara jika memenangi PRU-14 sebagai merugikan masa depan rakyat dan negara.

“Pakatan Harapan melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara mereka. Kemudiannya akan berlaku peralihan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) sebagai Perdana Menteri Ke-8.

“Kita akan lihat banyak konflik yang akan berlaku dalam pentadbiran negara yang akhirnya menyusahkan rakyat. Contohnya sudah berlaku di Selangor sebelum ini dalam krisis jawatan Menteri Besar selepas Tan Sri Khalid daripada PKR disingkir susulan Langkah Kajang.

“Saya yakin mereka (Pakatan Harapan) tidak belajar daripada keadaan itu yang akhirnya mengheret rakyat dan institusi raja dalam kancah politik,” ujarnya.