Perkara itu secara tidak langsung menarik perhatian seniman, Pyanhabib yang turut pernah ‘makan gaji’ dan berkhidmat di Utusan Malaysia lebih 20 tahun untuk bersuara dan meluahkan apa yang terpendam di dalam hati.

Memetik status yang dimuat naik di Facebook miliknya, syarikat Utusan Melayu (M) Berhad tidak akan berhadapan dengan masalah sekiranya orang UMNO memberi sokongan dengan membeli akhbar yang dikeluarkan sejak dahulu hingga kini.

“Nak boikot Utusan? Kah.. kah.. kah..!! Sejak berpuluh-puluh tahun lalu, awak dengan ahli UMNO rajin membeli dan membaca surat khabar atau majalah-majalah terbitan Utusankah? Setahu saya, sejak berpuluh-puluh tahun itu jugalah ahli UMNO berjumlah tiga juta orang itu, lebih sebahagiannya jenis pemalas baca surat khabar.

“Diberi percuma pun mereka buat sebagai sampah sahaja. Kalau sejak berpuluh-puluh tahun lalu tiga juta ahli UMNO itu berupa gerombolan yang rajin membeli dan membaca surat khabar Utusan setiap hari, pasti otak mereka segar-bugar dengan ilmu pengetahuan selain Utusan dapat mengutip hasil tetapi ahli UMNO… (kamu sambung sendirilah),” katanya.

Status itu dimuat naik selepas Puad memberi amaran kepada Utusan Malaysia untuk memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak tentang dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri itu berbohong kerana tidak tahu sumber wang yang didepositkan ke akaun banknya.

Puad juga menamakan pengerusi eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Sheik Fadzir sebagai individu yang menulis di belakang ruangan pojok "Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE