Apa yang mereka mahukan ialah UMNO tidak harus dibiarkan tergugat atau terjejas hanya disebabkan perbalahan tidak berkesudahan melibatkan pemimpin-pemimpinnya apatah lagi di peringkat tertinggi.

Biarpun ketiga-tiga ketua sayap itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin membuat pendirian yang tegas dan jelas namun ia dilakukan secara berhemah bagi mengelakkan mana-mana pihak tersinggung.

Sementara kesetiaan dan pendirian mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berubah sebaliknya terus diperkukuhkan dalam masa yang sama mereka juga menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Sememangnya mesej ketiga-tiga sayap tersebut bukan sahaja sesuai untuk barisan kepemimpinan tertinggi tetapi juga kepada seluruh pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat.

Shahrizat, Khairy dan Mas Ermieyati berhak untuk menyatakan perasaan mereka memandangkan mereka yang bertungkus lumus turun ke akar umbi bagi mencari sokongan untuk parti. Namun segala usaha mereka akan menjadi sia-sia jika UMNO terjebak dengan konflik yang tidak berkesudahan.

Tiada gunanya Wanita, Pemuda dan Puteri melaksanakan pelbagai agenda bagi menarik sokongan rakyat tetapi ia akhirnya gagal akibat UMNO dilihat berpecah belah. Justeru kalau benar mana-mana pemimpin sayangkan UMNO maka mereka perlu memastikan parti itu tidak terus berada dalam pergolakan atau terjerumus dalam konflik.

Kalau betul sayangkan UMNO, jangan kumpulkan ahli-ahli di dalam satu-satu majlis yang dilihat menunjukkan perpecahan UMNO, kalau betul sayangkan UMNO hentikan serangan bertubi-tubi seolah-olah pemimpin-pemimpin parti itu sudah tidak layak lagi memimpin negara dan kalau betul sayangkan UMNO, akurlah kepada suara majoriti dalam parti yang terus berdiri teguh dengan kepemimpinan yang ada.

Kalau betul sayangkan UMNO kasihanilah saudara mara dan para sahabat dalam Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertungkus lumus melaksanakan pelbagai program bagi meraih sokongan rakyat, kalau betul sayangkan UMNO jangan biarkan keperitan ahli-ahli ketiga-tiga pergerakan itu ketika musim pilihan raya menjadi sia-sia.

Oleh itu buktikanlah kata-kata sayangkan UMNO bukan sekadar mainan bibir tetapi benar-benar diterjemahkan dalam betul tindakan kerana itulah sebenar-benar pemimpin yang ikhlas berjuang kerana agama, bangsa dan negara.