Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehubungan dengan itu sebuah jawatankuasa dilantik bagi menyelaras perkara tersebut yang diketuai timbalannya, Datuk Othman Aziz.

Katanya, bedah siasat tersebut antaranya melibatkan pe­­ngumpulan maklumat di peringkat bahagian termasuk berkaitan faktor parti ditolak rakyat pada PRU-14.

“Mesyuarat pertama badan perhubungan negeri pertama malam tadi memutuskan agenda pertama kita adalah melakukan bedah siasat lebih terperinci dan kita melantik jawatankuasa yang diketuai oleh timbalan pengerusi perhubungan.

“Jawatankuasa ini akan me­ngumpulkan maklumat daripada 15 bahagian berkaitan pencerahan apakah faktor kekalahan parti di kawasan itu dan apakah yang perlu kita lakukan. Dalam tempoh sebulan daripada sekarang kita akan dapatkan maklum balas dan bentang dalam mesyuarat.

“Daripada maklumat itu, UMNO Kedah akan rangka visi dan misi untuk UMNO Kedah bergerak dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­ngadakan pertemuan dengan kepemimpinan bahagian dan sayap negeri di sini hari ini. Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hashim Jahaya.

Mengulas lanjut kata beliau, UMNO Kedah meminta semua pemimpin di peringkat bahagian memberikan komitmen dalam memastikan usaha tersebut berjalan lancar.

“Kita nak lihat maklum balas apakah faktor atau kelebihan bahagian itu yang membawa kemenangan parti di dua Parlimen dan tiga DUN ini. Ini akan menjadi garis pandu merangka visi dan misi UMNO Kedah,” katanya.

Menyentuh mengenai pelantikannya sebagai pengerusi parti di negeri ini katanya, UMNO Kedah akan berusaha menjadi pembangkang yang terbaik demi rakyat negeri ini termasuk berkaitan isu-isu yang dilihat akan menekan kehidupan mereka.

“Pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meletakkan saya sebagai Pengerusi negeri dan tentunya dengan kepercayaan itu serta barisan jawatankuasa yang ada berusaha memperkemaskan jentera parti.

“Saya melihat dalam tempoh sekarang penting untuk parti menjadi pembangkang yang matang dan ada kredibiliti. Saya juga melihat keperluan untuk bercakap tentang periuk nasi rakyat terutama berkaitan SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya.