Nombor satu dan timbalannya, doktor perubatan tetapi paling ramai, peguam dengan tujuh orang. Kalau campur yang ada ijazah undang-undang tetapi bukan peguam (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) jadi lapan.

Yang berkelulusan kejuruteraan pula tiga orang. Tiga lagi anggota Kabinet pula ada pangkat doktor di depan nama mereka walaupun bukan doktor perubatan atau gigi. Mereka pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Kebetulan, bila membawa nama doktor walaupun bukan doktor perubatan, memang automatik mendapat penghormatan tinggi masyarakat, bagaikan magis.

Sebab itu, selain gelaran Datuk, ada juga yang memburu gelaran doktor menerusi PhD jika ada peluang dan penajaan bagi memudahkan laluan termasuk jika berkecimpung dalam politik.

Namun melihat kepada prestasi sepanjang PH jadi kerajaan, ada dua nama menteri yang sering jadi sebutan berbanding yang lain. Kebetulan pula mereka ini ada gelaran doktor di depan.

Kebetulan pula Dr. Maszlee Malik dan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkelulusan politik Islam. Bukan calang-calang tetapi ada saja tindak-tanduk dan kenyataan mereka yang menarik tumpuan warganet.

Seorang lagi doktor PhD dalam Kabinet, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Beliau mungkin kurang sikit perhatian tetapi sebulan dua ini beliau juga semakin menghampiri dua rakannya itu.

Kebetulan bermula isu pengharaman merokok di kedai makan di samping pelantikan anaknya dalam lembaga pengarah sebuah agensi berkaitan kerajaan dan terkini isu MySalam.

Justeru, apabila Tun Daim Zainuddin melontarkan teguran kepada anggota Kabinet semalam, itu bukan kebetulan. Ia mencerminkan realiti keresahan rakyat termasuk pengundi PH.

Sesekali silap boleh dianggap kebetulan tetapi kalau selalu sangat kena bahan warganet dan pembangkang, mungkin elok juga Tun Dr. Mahathir Mohamad buat perubahan. Masa itu baru tahu mana kebetulan mana ‘cubaan’. -UTUSAN ONLINE