Perasaan itu dinyatakan Jusuf yang berketurunan Bugis kepada Ahmad Zahid ketika kedua-dua pemimpin yang mengetuai delegasi negara masing-masing dalam Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) ketika menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di sini semalam.

"Walaupun (menyatakan) bukan secara rasmi tetapi Jusuf memberitahu saya bahawa beliau amat-amat tersinggung dengan ungkapan yang menghina orang Bugis sama ada di Malaysia atau di Indonesia khususnya Sulawesi,’’ katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid menjelaskan, dari sudut sejarah, panggilan lanun terhadap orang Bugis sebenarnya diletakkan oleh penjajah sedangkan sebenarnya mereka adalah pahlawan yang menentang penjajah.

‘’Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi sudah pasti ramai yang terkesan dengan penghinaan ini dan ia juga boleh dianggap merendah-rendahkan keturunan dari rumpun Melayu,’’ katanya.

Dr. Mahathir semasa berucap dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi di Petaling Jaya baru-baru ini menyebut Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat berketurunan tersebut di Malaysia dan Indonesia dan mereka mendesak Dr. Mahathir memohon maaf secara terbuka, malah ada yang mahu bekas Perdana Menteri itu dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, polis menerima beberapa laporan daripada individu dan persatuan berhubung isu tersebut.

"Polis akan meneliti semua laporan yang dibuat itu sebelum tindakan sewajarnya diambil,’’ katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, keadaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsul Malaysia di Makassar, Sulawesi masih terkawal dan tiada sebarang insiden serangan atau bantahan dilaporkan berlaku setakat ini. – UTUSAN