Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah apabila Dr. Mahathir membelakangkan kepe­mimpinan Pakatan Harapan dalam tindakan tersebut, sekali gus menunjukkan tiada kesepakatan dalam pakatan berkenaan.

“Lebih penting kenyataan dibuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perkara ini, nampak sangat tiada kesepakatan.

“Tindakan Dr. Mahathir dilihat langkah yang agak terdesak sehingga membelakangkan sendiri kepemimpinan pakatan mereka yang mungkin dibuat atas pertimbangan nafsu (politik), peribadi atau emosi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di Gambang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail dan barisan kepemimpinan UMNO bahagian berkenaan.

Kelmarin, Dr. Mahathir dilapor mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Hindraf, P. Waytha­moorthy yang dilihat sebagai langkah Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP mengadakan kerjasama dengan kumpulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walau bagaimanapun, Moha­med Azmin dilaporkan berkata, keputusan sama ada untuk me­nerima Hindraf menganggotai Pakatan Harapan perlu dibincangkan dalam kerangka gabungan itu dahulu.

Menurut Hishammuddin, si­tua­si berkenaan memberi pe­tanda bahawa semakin banyak keretakan berlaku dalam Pakatan Harapan apabila semakin hampir dengan PRU-14 kerana bukan mudah hendak mentadbir sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

“Ini belum (Pakatan Harapan) tubuh kerajaan lagi, baharu menje­lang pilihan raya umum sudah tidak boleh nampak kesepakatan. Jika ini petandanya, saya berharap rakyat dapat menilaikannya sendiri.

“Jangan kita gadaikan (masa depan), saya tidak kata UMNO dan Barisan Nasional (BN) sempurna tetapi yang ada sebagai alternatif ini sebenarnya sebelum pilihan raya pun bukan alternatif,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau mahu momentum positif dalam bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara untuk menghadapi PRU-14 diteruskan yang mana gerak kerja mesti berbeza berbanding pilihan raya umum lalu.

“Hal berkaitan dengan calon atau masalah dalaman, kita selesaikan secara biasa, ini kelebihan yang ada pada kita. Akhirnya mereka yang setia kepada UMNO sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi, emosi atau puak-puak tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap manual pilihan raya UMNO yang sudah siap dapat disesuaikan oleh parti-parti komponen BN kerana terdapat kawasan yang memerlukan kesungguhan dan semangat sama tinggi daripada mereka bagi membantu parti memenangi PRU-14.