Setiausaha Agung UMNO ,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,  jumlah ahli parti keramat itu kini 3,644,295 orang berbanding 3,573,719 orang sebelum ini.

“UMNO terus bergerak dengan jentera tanpa lelah memastikan bukan sahaja pertambahan bilangan ahli UMNO, tetapi selari dengan anggota parti yang tentunya berdaftar sebagai pemilih untuk Pilihan Raya Umum ke-14 kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, perjuangan UMNO terus dihayati dan bersemarak lantaran kekuatan sokongan dan ahli-ahli parti yang tidak pernah putus terhadap kepimpinan semua peringkat.

“UMNO terus bersatu hati, kesatuan setiap anggota parti terus mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan serta penghayatan terhadap asas penubuhan parti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE