Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kebiasaannya bilangan ahli baharu yang berdaftar dengan parti itu antara 200 hingga 300 orang dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, menariknya kesemua ahli baharu yang berdaftar secara online dan hadir ke ibu pejabat atau cawangan UMNO seluruh negara itu terdiri daripada golongan muda yang berusia bawah 30 tahun.

“Jumlah yang luar jangka ini menyebabkan kami sendiri pun tertanya-tanya, justeru kajian secara rawak dilakukan terhadap mereka untuk mengetahui sebab mereka mendaftar menjadi ahli UMNO.

“Kebanyakan mereka berterus-terang mengatakan rasa sayang terhadap parti UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan ini membuktikan kesedaran mulai timbul dalam kalangan orang muda untuk bersama parti yang membangunkan serta berjasa terhadap negara,” katanya di PWTC, di sini hari ini.