Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, program berkenaan adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam merasai denyut nadi rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Banyak pihak yang pertikai tujuan program ini diadakan, kononnya disebabkan ingin memancing undi menjelang PRU-14 yang bakal tiba. Kita harap rakyat tidak akan terpengaruh dengan tanggapan negatif sebegini.

“Program yang julung kali diadakan ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) terus menambahbaik program baharu yang akan memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat, “ katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat di Padang Stesen Api, Temangan di sini hari ini.

Jualan murah lebih rendah dari harga pasaran itu mendapat perhatian kira-kira 2,000 rakyat pelbagai peringkat usia untuk membeli keperluan harian yang hadir sejak seawal pukul 8 pagi.

Ahmad Jazlan berkata, program itu adalah sebahagian kecil tanda membalas budi di atas sokongan rakyat kepada BN dan pihaknya akan meneruskan program sebegini pada masa akan datang seandainya ia memberi impak positif kepada rakyat. - UTUSAN ONLINE