Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal demikian kerana gabungan jentera yang dianggotai sayap parti itu serta komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai struktur dan disiplin yang kukuh dalam memberi perkhidmatan secara berterusan kepada rakyat.

Beliau berkata, situasi itu jauh berbeza dengan jentera pakatan pembangkang yang dilihat lebih banyak bermain politik daripada memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kekuatan jentera JR adalah perkhidmatan yang kita beri kepada rakyat dan perkara itu cukup digeruni oleh pembangkang.

"Kita tidak mahu membawa perkara-perkara negatif dalam JR ini. Matlamat kita adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera JR dan JR Plus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli di sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Senator Datuk Rahimah Mahammad; Ketua Pergerakan Pemuda negeri, Mohd. Azam Ismail; ketua-ketua wanita dan puteri UMNO Bahagian seluruh Kelantan serta lebih 5,000 ahli JR dan JR Plus yang memenuhi segenap ruang lokasi majlis berlangsung.

Tambah Shahrizat, seluruh kepemimpinan serta ahli UMNO dan BN Kelantan dilihat mempunyai semangat perpaduan yang kukuh serta tiada budaya cah keting.

Katanya, situasi itu jelas membuktikan UMNO dibawah kepimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed begitu berjaya dan dengan semangat tersebut tidak mustahil Kelantan akan jatuh ke tangan BN dalam PRU-14. - UTUSAN ONLINE