Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau bersyukur dengan sikap profesional yang dipamerkan Najib kerana perkara itu bukan mudah terutama bagi seorang presiden parti yang juga Perdana Menteri.

Menurutnya, walaupun sering diasak dan dikritik hebat termasuk oleh ahli UMNO sendiri, sikap profesional presiden yang mahu menghulurkan silaturahim pastinya akan memberi satu makna serta perubahan besar dalam UMNO.

“Ini juga akan menjadikan UMNO lebih bersedia untuk ke lembaran seterusnya ke arah kebaikan serta memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena kerja kuat dan jangan toleh belakang sebaliknya perlu memandang ke hadapan bagi menjadikan UMNO terus relevan di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Berkhatan Perdana 2015 di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning di sini, hari ini.

Sementara itu, jelas Mas Ermieyati, sikap terbuka Najib untuk berjabat tangan dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu episod bersejarah yang memberi kelegaan kepada semua perwakilan UMNO dari seluruh negara.

“Kita berharap kedua-dua pemimpin tertinggi parti keramat ini akan terus bekerjasama demi parti dan melakukan yang terbaik untuk UMNO dan rakyat negara ini. Saya amat positif.

“Semoga Allah bukakan hati pemimpin-pemimpin kita dan sebagai rakyat, marilah kita bersama-sama mendoakan yang terbaik agar negara kita dapat melangkah lebih jauh pada masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah memberitahu, program berkhatan perdana itu julung kali dianjurkan Gerakan Belia 4B Masjid Tanah dengan kerjasama daripada Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa pihak lain.

Katanya, program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ini melibatkan sebanyak 24 kanak-kanak Orang Asli dan dua orang dewasa yang telah memeluk Islam.