Hal ini dibuktikan sendiri oleh kepemimpinan DAP menerusi penceramah mereka, Hew Kuan Yau yang membuat tohmahan liar kepada pengamal media dengan melabel akhbar Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau sebagai ‘bajingan’ MCA.

Bekas ahli seumur hidup DAP, Shamsher Singh Thind berkata, kepemimpinan tertinggi gabungan itu sendiri yang kerap kali ‘menutup pintu’ kepada media arus perdana terutamanya apabila melibatkan isu-isu sensitif membuktikan janji kebebasan media hanyalah cakap kosong.

Sambil mempersoalkan prinsip DAP disebabkan ‘layanan istimewa’ yang diberi walaupun telah meninggalkan parti, Shamsher berkata, Kuan Yau tidak sepatutnya menggunakan pentas ceramah untuk mengutuk dan melabel pengamal media dengan kata-kata kesat sedangkan DAP yang beria-ia mengatakan tentang kebebasan media.

“Kalau merasakan pengamal media ada membuat kesalahan, mereka sepatutnya membuat aduan sewajarnya. Jika tidak puas hati sekali pun mereka berhak untuk menyaman, itu pun sering dilakukan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Janganlah menggunakan kesempatan itu untuk mengutuk pula pengamal media dan bila ada yang menegur perbuatan itu, Kuan Yau seolah-olah memperlekehkan pula orang tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga pengamal undang-undang mengulas mengenai sikap ekstrem, kasar dan tidak beretika Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ yang masih lagi menjadi alat DAP untuk menyebarkan sentimen kebencian termasuk tohmahan kepada pengamal media.

Kuan Yau sering kali terpalit dengan pelbagai kontroversi terutamanya melibatkan isu perkauman apabila mengeluarkan kenyataan dalam video ‘Melayu skru Melayu’ dan mengatakan Laut China Selatan milik negara China yang menimbulkan kecaman sehingga membawa kepada peletakan jawatannya dalam DAP. - UTUSAN ONLINE