Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, selain itu ia turut sukar dilakukan apabila ahli perniagaan yang dikaitkan dengan penyelewengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low telah mengambil wang negara sehingga RM50 bilion.

“Saya terima kritikan ini, kita nak laksanakan (janji untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN), cuma (ia sukar dilakukan apabila) melihat kepada kedudukan fiskal negara.

“Apa saja boleh dilakukan kerajaan ketika ini? Kalau Jho Low tidak ambil RM50 bilion, sudah pasti ia boleh dilakukan, tapi apa boleh buat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran FundMyHome.com di Eco Majestic, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, mana-mana peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik PTPTN.

Bagaimanapun, Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus. - UTUSAN ONLINE