Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, cabaran masa kini sememangnya getir kerana pelbagai fakta telah diputar belit oleh pembangkang dan disebarkan menerusi pelbagai medium.

“Selain maklumat dari pelbagai sumber, pemikiran rakyat yang sentiasa mahukan lebih daripada kerajaan adalah satu lagi cabaran kepada BN.

“Kita kena ada ilmu dan maklumat, kalau ada ilmu tetapi tiada maklumat, kita tidak boleh ke mana manakala jika ada maklumat tetapi tiada ilmu, kita tidak boleh berdepan dengan musuh,” katanya dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog Parlimen Putrajaya di sini hari ini.

Program bicara berkenaan turut disertai Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Lebih 500 orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya serta wakil-wakil pelbagai komuniti menyertai program itu yang memberi penerangan mengenai pelbagai isu termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga minyak, kenaikan kos hidup, perumahan dan polemik bilangan penjawat awam.

Dalam pada itu, Razali berkata, rakyat sewajarnya sedar mengenai kelebihan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa membuat perancangan masa hadapan untuk menangani cabaran mendatang dan memberi penyelesaian terbaik kepada negara.

“Kerajaan BN bersifat futuristik, saya beri contoh, kalau dahulu semasa hendak bina Lebuhraya Utara Selatan, ramai yang marah, kata mereka projek membazir.

“Hari ini mereka marah juga, kata mereka, kenapa bina dua lorong, kenapa tidak bina empat lorong, kerana lebuh raya itu juga yang kini mereka gunakan,” katanya yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kata beliau, pandangan ke hadapan kerajaan BN untuk mempelbagaikan hasil negara dan melaksanakan GST juga telah membolehkan negara berdepan kemelut kejatuhan minyak global.
Katanya, meskipun keputusan yang diambil kerajaan adalah tidak popular, keputusan berkenaan yang memberi masa depan lebih baik untuk negara. - UTUSAN ONLINE