Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jentera MyPPP tidak perlu takut untuk berinteraksi dengan golongan yang sudah memiliki kemewahan dan berjaya.

Malah, jelasnya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, parti komponen itu juga boleh mengadakan sesi townhall dan mengedarkan risalah di kawasan-kawasan berkenaan.

“Kita jangan syok sendiri. Kenapa takut kawasan elit? Sepatutnya ahli MyPPP bertemu dengan masyarakat di Taman Tun Dr. Ismail, Bangsar dan Damansara. Adakan sesi townhall dengan penduduk kawasan-kawasan ini.

“Jika mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) buat sesi townhall, hantar risalah. Jangan takut dengan rumah-rumah besar. Siapa mereka sebelum mempunyai rumah-rumah besar? Boleh saya minta MyPPP menerajui tindakan ini?,” katanya sewaktu berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MyPPP Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Jentera PRU ke-14 MyPPP di Institut Latihan DBKL di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas dan Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan. - UTUSAN ONLINE