Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas merupakan antara mangsa peristiwa berdarah itu apabila mengorbankan salah seorang pemimpinnya iaitu Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

“Semua pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetus­nya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan ber­kenaan peristiwa Memali.

“Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak mu­da sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menambah, berikutan kejadian di Memali itu, para ulama Pas mengisytiharkan syahid kepada mang­sa yang dibunuh de­ngan zalim demi mempertahankan Islam.

Selain itu, katanya, Pas turut mengamalkan pendekatan berdakwah berkaitan peristi­wa tersebut dengan tidak semudah-mudahnya menja­tuhkan hukum kafir kepada pihak-pihak lain.

Namun, tegas beliau, malangnya ada pihak yang berang dengan pendekatan yang diambil oleh Pas itu.

“Ketika itu Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukum­nya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan. Akhirnya Pas berjaya memben­dungnya secara ilmu dan mereka yang paling kuat mengkafirkan UMNO pula akhirnya ramai yang masuk UMNO atau diam sahaja.

“Ramai kakitangan kerajaan, polis dan UMNO tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang. Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam,” katanya.

Beliau juga berharap agar pihak-pihak terbabit yang berasa dirinya bersalah dalam peristiwa tersebut supaya segera bertaubat dan memohon maaf serta memperbetulkan semula keadaan.