Kehidupan penduduknya berlangsung tenteram seperti mana masyarakat desa yang lain. Di Sungai Koyan ada sebuah pekan kecil dan jika perlu, mereka akan ke bandar terdekat sama ada Raub atau Kuala Lipis untuk berurusan. 


Jika tidak kerana Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands yang sedang hangat, mungkin ramai tidak sedar kewujudan Sungai Koyan kecuali bagi orang Pahang dan mereka yang pulang ke Kelantan dari ibu negara.


Namun, hari ini ramai tabik pada seorang makcik dari Kampung Sungai Koyan 1 gara-gara reaksi spontannya yang meminta janji pilihan raya disertakan dengan surat peguam. 


Tular seantero Malaysia video makcik itu ketika didatangi calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran dalam program kempen semalam. Ternyata, makcik itu telah mengambil pengajaran daripada kegagalan kerajaan menunaikan sebahagian besar intipati manifesto PH. 


“Harapan tak Harapan makcik tak tahu, kalau buat surat ‘lawyer’ boleh, janji kalau cakap mulut sahaja makcik tak percaya,” kata Rahana Hassan sinis. 


Ya, sebelum menang, janji bulan dan bintang tetapi selepas berkuasa, manifesto bukan kitab suci. Akhirnya, inilah respons jujur rakyat kepada pimpinan politik. Janji mereka diragui ke tahap paling rendah sedangkan dalam sistem negara demokrasi, mereka adalah pemimpin.


Satu sudut, literasi undang-undang bukan hanya ada pada orang di bandar besar, tetapi penduduk Sungai Koyan juga telah membuktikannya. Setelah kerajaan melepaskan diri kerana manifesto bukan janji mengikat, kini rakyat menuntut adanya satu perjanjian sah. 


Begitulah nilai janji orang politik di mata masyarakat kini. Memang sedih tetapi bukan salah rakyat. Maka wajar permintaan makcik itu dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Umum akan datang agar tidak ditipu untuk kali kedua.


Dan apa yang disuarakan wanita itu adalah manifestasi kekecewaan terhadap situasi semasa di Sungai Koyan yang rata-ratanya bergantung hasil sawit dan komoditi. Barisan Nasional (BN) sudah diganti, tetapi masalah kos sara hidup dan ekonomi masih tidak berubah. 


Memetik kata-kata Nurul Izzah Anwar dalam Twitter beliau, ingatlah yang rakyat sedang menilai.-UTUSAN ONLINE