Kali ini, selaku penyandang, DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri tampil bukan sahaja dengan hasrat mempertahankan DUN Batang Kali tetapi limpahan sokongan tersebut diharap akan memungkinkan usaha merampas semula Selangor.
Kepada wartawan, C. SHEILA RANI, Mat Nadzari berkongsi idea serta perancangannya membangunkan Batang Kali demi kepentingan rakyat selain turut memperincikan kelemahan serta kegagalan kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

 

UTUSAN: Boleh Datuk perincikan sumbangan yang telah dilakukan BN Hulu Selangor dan Batang Kali khususnya?

MAT NADZARI: Banyak yang te­lah dilakukan, terbesar ialah projek kilang rawatan logam khusus untuk industri aeroangkasa yang akan dibangunkan di Serendah tetapi tertangguh selepas pembangkang mengambil alih Selangor.

Baru-baru ini, kami memutuskan untuk memulakan semula projek itu dan kilang tersebut dijangka akan beroperasi tahun depan.

Di samping itu, beberapa pembangunan pesat telah dilaksanakan seperti pembinaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya dan pembinaan Jalan Pintas Ra­wang (Rawang Bypass).

Sepanjang 10 tahun diperintah PKR, apa pembaharuan yang dibawa pembangkang di Batang Kali?

Saya tidak melihat sebarang pembangunan yang boleh dijadikan sebagai ikonik. Bahkan, dari segi pertumbuhan ekonomi juga terbantut.

Tiada infrastruktur baharu ma­hu pun projek besar dibawa masuk ke Batang Kali. Masalah setempat seperti sampah sarap dan jalan berlubang juga gagal diselesaikan.

Secara keseluruhan, saya berpandangan kerajaan negeri tidak mencari inisiatif untuk mewujudkan peluang baharu, sebaliknya mereka lebih kepada ‘menyelenggara’ usaha-usaha yang telah dilakukan BN pada awalnya.

Misalnya, sebelum ini, kerajaan BN sudah mewujudkan pelbagai zon kawasan merangkumi ka­tegori seperti pendidikan, pelanco­ngan dan pengangkutan di Batang Kali berdasarkan strength di lo­kasi masing-masing.

Jadi, apabila asas itu telah diperkukuhkan dan kemudian pembangkang mengambil alih Selangor, mereka gagal untuk membangunkan semua usaha ini. Ia terhenti begitu sahaja.

Selepas kempen hampir memasuki minggu kedua, PKR dilihat mula menggunakan pendekatan agresif, bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Bagi saya, perbuatan fitnah, hasutan, menanam rasa kebencian dan memain sentimen per­kauman harus dielakkan. Kalau inilah cara pembangkang, adakah anda rasa mereka berupaya me­ngekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini?

Jika ada pemimpin yang jauh lebih baik, mereka akan jatuhkan, kalau mahu jatuhkan mesti lemparkan fitnah terlebih dahulu, jadi semua ini adab yang tidak baik dan memberikan kesan negatif.

Budaya politik pembangkang agak bebas, bebas mengamalkan apa yang dikehendaki. Kebebasan yang terlalu lu­as, bukan se­perti BN yang mengamal­kan guided de­mocracy (demokrasi terpimpin).

Dalam siri ceramah, pembangkang menyerang peribadi dan melakukan pem­bunuhan karektor, apa yang rakyat perlu sedar dalam hal ini?

Perbuatan seumpama itu tidak wajar. Pembangkang tidak harus bertindak demikian, kempen mereka sepatutnya lebih tertumpu pada dasar.

Jika inilah sikapnya, pembangkang perlu malu dengan diri mereka. Saya yakin rakyat dapat menilai dan pengundi tidak harus terperangkap dengan isu-isu yang dibangkitkan yang semata-mata hanya bermotif politik.

Difahamkan Datuk mempunyai manifesto khas untuk DUN Batang Kali. Boleh Datuk ulas mengenai kandungannya.

Manifesto DUN Batang Kali mengandungi 17 aku janji me­nyentuh isu-isu kepentingan penduduk di kawasan ini, antaranya penyelesaian berkaitan pewartaan tanah Orang Asli, tanah tanpa status di Kampung Baru Cina Ulu Yam, penyediaan kemudahan untuk mendapat rawatan kesihatan, prasarana moden dan berteknologi tinggi, pusat pendidikan pelbagai aliran serta kemudahan untuk aktiviti bersukan bagi belia.

Biasanya, saya cuba mencari katalis dan nukleus baharu untuk sesuatu kawasan dan melihatnya sebagai sosioekonomi yang mampu membawa perubahan menyeluruh.

Saya hidu beberapa peluang daripada inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berpotensi mewujudkan lembaran ekonomi baharu di kawasan ini.

Dari situ timbul idea untuk mewujudkan pelabuhan darat di Sungai Gapi, Serendah yang mampu merancakkan pembangunan sekitarnya, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.