Berucap ketika merasmikan persidangan bahagian itu di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini, beliau berkata, bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu sudah begitu sinonim dan amat dekat di hati orang Pagoh dan Johor.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, bukan senang untuk melupakan pengorbanan dan jasa bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh itu ke­rana sudah lebih 40 tahun mengabdikan diri serta berjuang dalam UMNO.

“Beliau sudah lama mengabdikan dirinya untuk perjuangan agama dan bangsa melalui UMNO. Bukan sehari atau semalam dua tetapi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

“Jadi tidak pelik kalau Tan Sri Muhyiddin adalah seorang yang sangat dekat di hati, sangat dikasihi dan disanjungi oleh warga Pagoh,” katanya sambil disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh para perwakilan.

Mohamed Khaled berkata, walaupun Muhyiddin sudah memilih haluan baharu namun pendirian UMNO Johor adalah tetap tidak akan sesekali melupakan jasa dan sumbangan beliau selama ini.

“Kita pasti akan mengenang­nya. Kita tidak akan melupakan sahabat. Kita akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada kita kerana inilah cara kita di Johor. Johor yang mengamalkan politik matang, politik berpendirian.

“Apa yang lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik. Ha­nya kerana perbezaan pandangan dan pendirian,” katanya.