Apa tidaknya, dalam ke­rancakan musim kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang hanya berbaki dua hari lagi, tidak semena-mena Amirudin me­ngungkapkan perkara itu.

Memanglah tidak secara langsung menabur ‘gula-gula’, namun ‘bayang-bayang’ yang diberi iaitu projek besar melibatkan rakyat mampu memiliki rumah selesa sebenarnya telah menjurus ke arah itu.

Lebih membingungkan, adakah semua projek demi kepentingan rakyat hanya diumumkan sewaktu musim pilihan raya? Jika begitu, hanya lima tahun sekali sahajalah perit-jerih rakyat didengari.

Tidakkah Amirudin sedar, ucapan beliau itu sendiri pun sebenarnya merupakan satu janji kepada penduduk Semenyih? Apakah ayat yang dikeluarkan itu sekadar manis di bibir sahaja?

Sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali tewas dalam PRK DUN Semenyih ini, adakah Amirudin akan tetap mengotakan janjinya membuat pengumuman itu minggu hadapan atau ‘lepas tangan’ dan buat tidak tahu sahaja.

Ya lah, ambil contoh perihal bercinta, selalunya orang sebelum dapat nampak bersungguh-sungguh, bila sudah putus terus dilupakan sahaja. Takut-takut itu juga yang berlaku. Sudahnya penduduk Semenyih juga yang merana.

Janganlah dibuat main hati dan perasaan rakyat. Jangan diugut sebegitu. Walau apa keputusan PRK Semenyih ini nanti, tugas sebagai kerajaan negeri sepatutnya terus memberi bantuan tanpa mengabaikan atau menganaktirikan sesiapa. Bukankah PH berdegar-degar menjadi ‘pejuang’ rakyat sebelum ini.

Namun begitu, adakah semua itu benar? Atau ‘janji kosong’ sahaja? Tanyalah kepada komuniti Orang Asli di Semenyih, mereka juga semakin kecewa apabila tiada siapa mengambil tahu hal ehwal kebajikan. Seolah-olah dipinggirkan sahaja.

Mereka juga sedar ragam semasa kempen pilihan raya kadang-kala tidak diterjemahkan selepas menang. Itu juga yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Janganlah hanya tahu menabur janji tetapi mulalah ambil tahu kebajikan rakyat.