Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu menegaskan, tuduhan berkenaan tidak mempunyai bukti apatah lagi penduduk yang hadir dalam ceramah tersebut tidak memakai baju UMNO atau BN.

"Apa yang dilihat hanyalah simbol-simbol dan baju DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipakai kumpulan penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

"Sebagai ADUN Stulang, Chen sepatutnya dapat membina perasaan hormat dan kasih sayang daripada kalangan pengundi yang mampu menilai dan menghargai perkhidmatannya," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Program Sembang Santai Warung di kampung tersebut kecoh malam tadi apabila penduduk tempatan membantah kedatangan pemimpin PH terutama Penasihat DAP itu dan puncanya dipercayai kerana tidak memaklumkan kehadiran pemimpin berkenaan kepada ketua kampung.

Kah Eng kemudian dalam sidang akhbar yang disiar menerusi Facebooknya mendakwa gangguan itu berpunca daripada UMNO dan BN yang menyalahgunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk menakutkan orang supaya tidak beri ruang kepada PH untuk bertemu dengan rakyat.

Melalui video Live yang dipaparkan di Facebook ADUN Stualang itu, seorang pemuda berkata, kehadiran Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut pada masa ini tidak diperlukan.

"Kita ada ketua kampung, hormat sikit ketua kampung. Janganlah tidak hormat ketua kampung. Ini datang buat kita punya tempat.

"Masalah dia tidak beritahu kita. Tak boleh. Kita orang tidak setuju. Kenapa dia nak datang," kata penduduk tersebut.

Akibat bantahan tersebut Ahli Parlimen Gelang Patah dengan pemimpin PH lain meninggalkan kampung berkenaan yang pertama kali dijejakinya itu secara aman. - UTUSAN ONLINE