Hishammuddin ber­kata, sekiranya keselamatan di negara ini khususnya di Sabah tergugat adalah disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggugjawab itu menjadikan keselamatan sebagai ‘taruhan politik’, maka rakyat negeri ini yang akan menanggung akibatnya.

“Sekiranya keselamatan Sabah jadi pertaruhan, jadi gadaian, akhirnya kalau pertimbangan me­reka silap, yang jadi mangsa nanti ialah rakyat Sabah sendiri yang tidak berdosa. Ini yang berlaku di negara Timur Tengah dan negara tertentu,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Zon 4 di sini hari ini. UMNO Zon 4 merangkumi UMNO Bahagian Keningau, Te­nom dan Pensiangan.

Turut hadir dalam majlis ber­kenaan Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang dan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin.

Menurut Hishammuddin, pen­­dekatan berpolitik kebenci­an dan perpecahan yang cuba dimainkan pihak pembangkang di Sabah, termasuk yang pernah berada di dalam kerajaan suatu ketika dahulu, boleh menjurus ke arah perpecahan.

Sebagai contoh katanya, sentimen Sabah untuk orang Sabah yang ditiupkan pemimpin ber­kenaan boleh memecahbelahkan dan jelas bermotifkan politik peribadi kerana semasa pemimpin itu berada dalam kerajaan dahulu, tidak pernahpun membangkitkan perkara itu.

“Kalau nak berpolitik pun ada hadnya...ini yang saya ingatkan perwakilan hari ini. Jangan main-main dengan sentimen perkauman, sentimen agama, sentimen berpolitik antara Sabah dan Semenanjung. Dah cukup cantik dah (situasi kita) selama ini.

“...(Sikap) rakus, tamak, ego, marah, teringin nak merampas kuasa dan matlamat mengha­lalkan cara ini semua amat berbahaya. Kita perlu terangkan kepada orang ramai bahawa tiada parti selain Barisan Nasional yang lebih konsisten merentasi warna kulit dan agama untuk membangunkan dan membela rakyat Sabah ini,” tegas Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.

Justeru kata Hishammuddin, komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan keselamatan Sabah sentiasa terjamin, tidak boleh dipertikaikan kerana pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat ber­kenaan termasuk menempatkan lebih banyak aset keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur.

Katanya, bilangan aset-aset ketenteraan dan keselamatan serta anggota keselamatan yang ditempatkan di Sabah mungkin tiga hingga empat kali ganda lebih banyak berbanding yang diletakkan di negeri asal beliau sendiri iaitu Johor.

Mengenai kedudukan UMNO Sabah, Hishammuddin berkata, UMNO negeri itu sudah kembali pulih dengan anggota dan kepim­pinannya sudah fokus kepada perjuangan asal parti serta jauh berbeza berbanding tahun lepas ketika ada pemimpin UMNO ne­geri itu keluar meninggalkan parti.

Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman telah memimpin Sabah dengan cukup baik malah mempunyai begitu banyak perancangan untuk pembangunan masa depan Sabah namun semua itu akan dapat dilakukan sekiranya mendapat mandat besar daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang. – BERNAMA