Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, langkah menukar kerajaan tidak semudah menukar citarasa atau menukar pakaian kerana kesannya akan membawa keburukan kepada negeri ini secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat untuk menolak agenda menukar kerajaan yang dibawa oleh pembangkang dan terus memberi sokongan kepada BN demi kesinambungan pembangunan negeri.

“Kalau ada orang cuba bawa rakyat Sabah keluar dari gelanggang UMNO mereka tersilap, lihat apa berlaku di Britain, kerana mahu tukar citarasa, mahu tukar baju... tidak semudah itu, Sabah tidak mahu jadi Brexit Malaysia.

“Sabah tidak mahu BN dan UMNO kecundang, kita ada pengalaman di depan mata bagaimana menyesalnya masyarakat Britain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis, Papar dan Beaufort di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih. - UTUSAN ONLINE