Calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK itu, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, para pengundi terutamanya yang tinggal di luar Rantau dimohon pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu pada hari tersebut.

Katanya, walaupun tinggal jauh dari Rantau, beliau berharap para pengundi akan meluangkan masa untuk pulang dan menjayakan proses mengundi.

“Ada kempen dan cakap-cakap bahawa BN akan menang besar. Saya yakin ini adalah perang psikologi yang dibuat parti lawan untuk memberi gambaran bahawa pengundi luar tidak perlu balik. Ini adalah cara mereka menjejaskan peluang saya dalam PRK ini.

“Sehingga kini, saya masih katakan bahawa peluang saya untuk menang adalah 50/50 dan jentera BN perlu bertugas dan berusaha hingga pukul 5.30 petang Sabtu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.

Berdasarkan daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Rantau mempunyai 20,472 pengundi dengan komposisi 53.43 peratus Melayu, Cina (18.81 peratus), India (27.01 peratus) dan lain-lain (0.75 peratus). Sehingga 25 Februari lalu, DUN berkenaan mempunyai pengundi seramai 20,926.

Mohamad memberitahu, jumlah pengundi yang tinggal di luar Rantau agak ramai.

“Sebagai contoh, daripada lebih 11,000 pengundi Melayu, lebih 4,000 orang atau 30 peratus tinggal di luar kawasan DUN ini. Saya harap mereka akan balik dan memberi sokongan kepada saya pada Sabtu ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE