Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sedangkan kerajaan telah membantu bagi mengelakkan rakyat daripada terbeban apabila memastikan harga barangan keperluan asas yang dikawal seperti tepung dan minyak masak tidak naik.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pembangkang tahu hakikat sebenar isu ini yang berbalik kepada soal penawaran dan permintaan namun mereka terpaksa memesongkan realiti bagi membuatkan rak­yat marah kepada UMNO dan BN.

“Minyak masak, tepung, beras dan barangan keperluan lain kita kawal dan harganya tidak naik. Sayur, ikan dan ayam pula, bergantung kepada permintaan dan bekalan tetapi tetap ada pe­nguatkuasaan untuk mewajibkan premis meletakkan tanda harga bagi memastikan pengguna boleh memilih kedai mahal dan murah.

“Dan bagi barang kehendak seperti kasut, alat solek, tudung, baju dan lain-lain, itu bergantung kepada pengguna sendiri mengikut kemampuan mereka kerana ada barang yang murah dan ada barang yang mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Hot Seat Bersama Menteri di ruang pameran Pergerakan Wani­ta UMNO di sini hari ini.

Tambah Hamzah, pembangkang pastinya akan terus gunakan isu ini bagi menanam perasaan marah rakyat kepada kerajaan dan oleh itu, ahli-ahli UMNO harus bersedia menangkis tohmahan dengan mendedahkan realiti sebenar.