Rundingan melibatkan MA63 bukan sahaja merangkumi pengembalian hak Sabah dan Sarawak tetapi juga melaksanakan bayaran permulaan hasil negeri demi kepentingan rakyat kedua-dua negeri.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman sebagai berkata, kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah sewajarnya berhubung MA63 termasuk perkara berkaitan royalti minyak dan sumber pendapatan lain.

Malah, jelas Anifah, kerajaan juga tidak boleh lagi menggunakan alasan faktor kekangan kewangan bagi melengahkan pembayaran kepada Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan perlu segera memulakan rundingan bagi melaksanakan MA63. Selepas itu barulah boleh mengadakan perbincangan mengenai kaedah dan jumlah pembayaran yang sesuai.

“Saya yakin rakan-rakan pembangkang dari Sabah dan Sarawak bersedia untuk berganding bahu menyokong segala usaha bagi mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam MA63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak mengambil masa terlalu lama untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak termasuk 40 peratus pembayaran balik kutipan hasil. - UTUSAN ONLINE